KEPIMPINAN

Barisan Kepimpinan TOD4U

Zie Teh Mohamad

Founder, TOD4U

Zie Teh Mohamad atau lebih mesra dipanggil Zie, anak kelahiran Pahang yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman mengetuai dan menguruskan pasukan dalam pelbagai bidang di dalam agensi kerajaan mahupun syarikat swasta termasuk pembangunan perumahan (property developer), teknologi maklumat (information technology), pembangunan sistem atas talian (online system development), perkhidmatan latihan (training) dan rundingan perniagaan (business consultancy).

Beliau mempunyai pengalaman yang luas mengetuai bahagian (department) yang menguruskan pelbagai bidang seperti pengurusan projek, pengurusan rangkaian jualan, pemasaran, pengurusan pelanggan dan pembangunan perniagaan dan telah banyak kali menerima pelbagai anugerah kecemerlangan  dan penghargaan daripada pelbagai pihak, samada dari organisasi tempat beliau pernah berkhidmat  mahupun dari pihak ketiga.

Zie  mendapat pendidikan awal bermula daripada Sekolah Kebangsaan Bangau, Temerloh, menyambung pembelajaran dalam Bidang Sains Kejuruteraan di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan dan seterusnya meneruskan pengajian  sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Sumber & Pengajian Pengguna di Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Beliau yang sememangnya dilahirkankan dalam keluarga yang berniaga telah secara tidak langsung membentuk minat yang mendalam dalam diri beliau terhadap perniagaan dan minat yang terbentuk secara semulajadi ini telah membuatkan beliau tidak pernah berhenti menjalankan perniagaan sejak dari masih bergelar siswazah di universiti sehingga ke hari ini.

Dengan pengalaman dan keinginan yang mendalam yang untuk membantu sebanyak mungkin organisasi terutamanya di Malaysia, beliau telah mengasaskan TG Groupbiz yang kini telah dijenamakan semula menjadi TOD4U sebagai satu platform yang mengumpulkan pelbagai pakar daripada pelbagai bidang perniagaan dan pengurusan organisasi di Malaysia.

Mior Azli Mior Md Isa

Principle Consultant, TOD4U
Founder, Culture of Champion Programme

Mior Azli dilahir  dan dibesarkan dalam keluarga pendidik di mana datuk beliau adalah guru agama dan ibu beliau adalah guru sekolah, telah mempengaruhi dan memupuk minat beliau yang sangat tinggi terhadap ilmu dan sikap yang sangat gemar membaca.

Anak kelahiran Negeri Perak ini telah menerima pendidikan awal di sekolah rendah dan menengah di dalam Negeri Perak dan melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia, sehingga berjaya mendapatkan Ijazah Kejuruteraan Awam.

Pengalaman bekerja di dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak 1986 sehingga  Mei, 2023 menjadikan  Mior Azli sangat mahir dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan projek, kawalan kualiti, pengurusan risiko, pengurusan perubahan, pengurusan strategik, dan pembangunan kepimpinan.

Tambahan pula, sebelum persaraan beliau,jawatan terakhir beliau adalah Ketua Latihan dan Perundingan Kepimpinan Strategik (SLTC) di TNB Integrated Learning Solution (LSAS), Tenaga Nasional Berhad di mana salah satu tanggungjawab beliau adalah merancang dan melaksanakan Pembangunan Kepimpinan di Tenaga Nasional serta memimpin SLTC untuk mencapai matlamat SLTC.

Mior telah menerima banyak  pengiktirafan di atas sumbangan dan kecemerlangan beliau sepanjang perkhidmatan di TNB,  antaranya dari Bahagian Penghantaran (Transmission)  Tenaga Nasional Berhad atas kejayaannya dalam menyusun “Balanced Scorecard” untuk seluruh pasukan dan membangunkan Program “Culture Of Champions” untuk meningkatkan produktiviti semua ahli pasukan.

Melalui Program “Culture Of Champions” ini juga,  beliau telah membangunkan Program “Better. Brighter” untuk semua anggota kerja TNB. Program ini telah dihadiri oleh lebih dari 17,000 kakitangan TNB.

Beliau telah menerima dua anugerah di atas kedua-dua usaha ini, iaitu Anugerah Pembangunan Kapasiti (2013) dan Anugerah Presiden/Ketua Eksekutif Khas (2015).

Beliau mempunyai pandangan unik tentang kehidupan. Pertama, beliau percaya bahawa kehidupan adalah suatu pengembaraan, dan kehidupan yang bermakna sepatutnya diisi dengan sumbangan kepada orang lain. Beliau berharap dapat menghabiskan sisa hidupnya membantu orang lain memimpin dengan lebih baik dan dengan itu menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

Beliau juga sering berpegang teguh pada falsalah hidup, “Jika engkau dan aku tidak berfikir di luar dari apa yang telah difikirkan, tempat ini tidak akan maju” menjadikan beliau seorang insan yang sentiasa percaya kepada kehebatan kerja berpasukan dan setiap kejayaan perlukan perubahan.

Janice Tan

Chief Of Operations, TOD4U

Janice Tan, wanita yang sangat mahir dan berpengalaman luas dalam memulakan perniagaan dan menguruskan operasi sesebuah organisasi.

Janice dilahir dan dibesarkan di Ibu Kota Kuala Lumpur. Memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu 4, Jalan Ipoh, menyambung pembelajaran peringkat menengah di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri, Cheras dan seterusnya meneruskan pembelajaran sehingga memperolehi Ijazah Pemasaran daripada Chartered Institute of Marketing (CIM), UK, di Kolej ATC, Kuala Lumpur.

Mempunyai pengalaman selama 6 tahun bekerja bersama Industronics Berhad dan Sunway Group dalam bidang pemasaran sebelum memulakan perniagaan sendiri.

Beliau mempunyai pengalaman lebih 10 tahun membangun dan menguruskan organisasi yang menjalankan perniagaan terutamanya dalam bidang “central kitchen” dan rangkaian “franchaise”, di mana beliau berpengalan membuka dan menguruskan 25 “outlet” di seluruh Malaysia.

Selain itu, beliau mempunyai hampir 5 tahun pengalaman mengetuai pasukan dalam membangun dan menguruskan Kilang “OEM” yang memproses ubat-ubatan dan makanan kesihatan, bermula daripada pemilihan tapak kilang, pencarian dan pembelian mesin-mesin yang diperlukan, pembangunan proses dan prosedur, kawalan kualiti produk dan produktiviti.

Janice percaya pengetahuan dan pengalaman yang beliau perolehi sia-sia jika tidak dikongsikan dengan orang lain kerana beliau yakin ianya jika dikongsi akan dapat membantu ramai orang untuk berjaya dalam perniagaan mereka.